Peserta Gerbang Cinta ke China
PERCUTIAN yang lebih kepada aktiviti membeli-belah atau memborong itu, adalah tajaan Anzac Consultancy, sebuah syarikat bumiputera yang terbabit aktif dalam mempromosikan perniagaan memborong dari China.
Percutian, yang dibahagikan kepada dua trip iaitu pada 12 hingga 15 April dan 26 hingga 29 April, mengukir kenangan indah seawal berada di Terminal Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) lagi, apabila ia turut disertai lebih 36 usahawan borong.
Keempat-empat pasangan pemenang sagu hati tersebut, Sharifah Norazlin Syed Abidin dan suaminya, Azrul Iszreen; Samsul Khairul Samsudin dan Anis Sabrina Azman; Nurul Hanim Abdul Malek dan Herul Azrul Shafi; dan Mohamad Afizal Aziz bersama pasangannya, Noraini.
Rata-rata mereka mengakui mengakui peluang tersebut ibarat satu langkah pertama bagi mereka mencuba dan menjinakkan diri dalam dunia perniagaan.
Apatah lagi, program bersama Anzac Consultancy itu bukan satu rombongan pelancongan semata-mata, malah umpama kelas perniagaan apabila semua peserta didedahkan dengan pelbagai peluang dan cabaran perniagaan di China.
Bermula dengan penerangan yang diberikan di LCCT sehinggalah hari akhir untuk pulang ke Malaysia, rombongan penuh dengan informasi yang sangat berguna bagi mereka yang baru berjinak-jinak untuk memulakan perniagaan.
Ini diakui oleh Sharifah Norazlin dan suaminya, Azrul Iszreen, yang menganggap percutian tersebut telah membuka jalan dan peluang perniagaan untuk mereka menjadi usahawan pada masa akan datang.
Pertama kali menjejak kaki di Guangzhou kami amat teruja. Bandarnya agak sesak tetapi boleh dikatakan bersih dan paling menakjubkan di setiap lokasi ada saja plaza borong.
Apa pasti barangan yang dijual sangat murah dan berbaloi jika dibeli secara borong untuk memulakan perniagaan.
Kami sangat berpuas hati dengan rombongan ke China ini. Kami yang awalnya tidak mempunyai rancangan untuk memulakan perniagaan pun sudah mula memikirkan untuk bermula kecil-kecilan.
Kami merancang untuk datang lagi ke sini, mungkin pada hujung tahun ini bagi mendapatkan barangan secara borong,” kata Azrul.
Tambah beliau, selain kesibukan mengunjungi plaza borong, jadual turut diselitkan dengan lawatan ke beberapa tempat tumpuan pelancong termasuk Masjid Huaiseng iaitu antara masjid tertua di China, di samping berkunjung ke Makam Saad Abi Waqas iaitu bapa saudara Rasulullah SAW.
Sementara itu pasangan pengantin baru, Samsul Khairul dan Anis Sabrina, menyifatkan percutian tersebut bagaikan bulan madu memandangkan baru kira-kira sebulan berkahwin.
Mereka mengakui menemui cinta baru di sana apabila menemui barangan yang mereka jual selama ini dengan harga yang jauh lebih murah.
Saya memang seorang peniaga, dan saya tahu mengenai program ini. Tajaan percutian ini bagaikan rezeki terpijak apabila saya menjumpai barangan yang saya jual selama ini di Guangzhou dan ia lebih murah berbanding harga yang saya peroleh daripada pembekal selama ini.
Kami juga merancang akan kembali ke sini untuk memborong barangan seperti gajet dan barangan untuk bayi bagi dijual di Malaysia.
Pemergian kali ini kami tidak memborong banyak kerana kedatangan kami juga lebih kepada makan angin dan bersantai-santai,” kata Anis.
Tambah Samsul Khairul pula, selain menghabiskan masa dengan memborong barangan yang murah, mereka juga berpeluang menikmati makanan dan budaya masyarakat China di Guangzhou.
Bagi Noraini dan Mohamad Afizal, mereka amat bersyukur kerana terpilih menyertai rombongan memborong di China itu.
Biarpun tidak bercadang untuk memulakan perniagaan buat masa terdekat ini, percutian tersebut sekurang-kurangnya memberi peluang kepada mereka melihat negara orang.
Walaupun kami di bawa melancong ke syurga membeli belah tetapi kesempatan itu juga digunakan untuk menikmati saat indah bercuti di Guangzhou dengan berkunjung beberapa tempat yang menarik.
Kami tidak banyak membeli barangan yang dijual secara borong tetapi membeli dalam kuantiti yang sedikit sahaja untuk dijadikan oleh-oleh kepada sanak-saudara di Malaysia,” katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20130508/pl_01/Peserta-Gerbang-Cinta-ke-China#ixzz2SlftrDsU
© Utusan Melayu (M) Bhd
{ 0 comments }






















