Dalam dua tajuk yang pertama sebelum ini, kita telah diperkenalkan dengan apa itu China dan kenapa perlu memborong dari sana serta suasana perniagaan di sana.
Dalam topik kali ini, kita akan pergi lebih terperinci dalam strategi perniagaan.
Pertama sekali kita perlu memahami pusingan yang berlaku dalam perniagaan yang melibatkan produk atau trading. Pusing ini akan bermula daripada kajian pasaran bagi sesuatu produk, kemudian diikuti pemborongan, dan akhirnya penjualan dan kembali semula ke kajian pasaran.
Kajian Pasaran —> Pemborongan —-> Penjualan —–> Kajian Pasaran
Pusingan ini akan berterusan sepanjang perniagaan anda berlangsung dan ini adalah satu proses yang tidak akan berhenti jika anda ingin terus menjadi peniaga yang relevan dalam pasaran.
Kita mulakan dengan langkah yang pertama iaitu kajian pasaran terhadap produk yang ingin dijual.Kajian ini penting untuk mengurangkan risiko kerugian jika anda membuat kesilapan dalam bidang ini. Semua faktor perlu diambil kira supaya perniagaan kita akan membuahkan keuntungan dan tidak merugikan.
Apabila anda sudah mempunyai pengalaman nanti, langkah ini akan menjadi lebih mudah bagi anda. Jika anda tidak mempunyai pengalaman, jangan risau. Keputusan yang baik datang dari pengalaman, pengalaman datang dari keputusan yang tidak baik. Jangan takut membuat keputusan, kerana keputusan yang baik akan menguntungkan anda dan keputusan yang tidak baik akan memberi anda pengalaman.
Dalam Kursus Memborong di China, saya akan bertanya kepada usahawan yang menghadirinya “Apakah barang yang ingin mereka jual ?”. Hampir 95% daripada usahawan akan menjawab “Apa saja yang boleh buat duit”
Anda tidak mungkin akan berjaya menjual apa-apa produk selagi anda tidak tahu apa yang ingin dijual. Anda perlu lebih spesifik dan terperinci.
Proses ini bermula dalam tiga langkah yang saya akan terangkan di bawah.
Lihat Sekeliling Anda
Sebelum anda mengenalpasti pembeli dan produk. Penting anda lihat sekeliling anda dan dengan siapa anda berjumpa dan berhubung setiap hari. Memang betul anda berjumpa dengan ramai orang dalam pelbagai bidang. Namun tentu ada beberapa segmen penting masyarakat yang anda berhubung.
Anda tidak boleh mengejar 2 orang yang bergerak ke arah berlainan dalam satu masa. Begitu juga dengan pemasaran. Anda tidak boleh mengejar 2 pasaran dalam satu-satu masa. Jika anda ingin menjual tudung muslimah dan pakaian sukan. Anda sedang cuba mengejar 2 orang dalam satu masa. Kemungkinan besar, anda akan gagal.
Jadi cuba pilih satu pasaran buat satu masa, dan kembangkan perniagaan anda dalam bidang tersebut. Jika anda menjual jersey bolasepak. Pastikan produk seterusnya adalah seluar bolasepak atau kasut bolasepak. Jadi anda sebenarnya telah menjimatkan satu langkah seraya menjimatkan masa dan kos untuk menghadapi langkah ini.
Kembali kepada mengenalpasti pasaran anda untuk mengetahui apa yang hendak di borong di China nanti.
Katakan anda seorang muslimah bertudung. Anda tidak mungkin keluar bershopping dengan kumpulan berpakaian Punk. Sama juga sebaliknya. Anda tentu mempunyai identiti tersendiri dan berkawan dengan orang yang mempunyai kepercayaan dan identiti yang lebih kurang sama seperti anda.
Setelah anda mengenalpasti kumpulan ini. Anda kini sebenarnya sudah mengenalpasti kumpulan besar pembeli anda. Anda perlu menjadi lebih spesifik dalam langkah yang kedua.
Kenalpasti Pembeli Anda
Apa yang anda kenalpasti dalam langkah yang pertama tadi adalah orang-orang yang kemungkinan besar akan menjadi pembeli anda. Iaitu orang disekeliling anda.
Kini persoalan yang perlu ditanya, berapakah pendapatan mereka dan ke mana wang ini disalurkan ?
Semua manusia akan berbelanja untuk keperluan asas seperti beras, gula dan garam. Ini adalah belanja keperluan. Anda mungkin tidak berminat untuk menjual barang seperti ini.
Sekarang cuba fikir mengenai “kehendak”. Apa barang kehendak yang dibeli oleh kumpulan pembeli anda ini. Anda boleh lihat ini pada diri sendiri dan diri mereka. Mengambil contoh sebelum ini. Jika anda seorang muslimah dalam kumpulan muslimah.
Cuba lihat pada pakaian anda dan rakan-rakan anda. Apa sebenarnya yang anda dan rakan-rakan anda gunakan setiap hari ? apakah yang sering dibeli dan menjadi bualan ? apa pula produk yang menjadi impian mereka ?
Kain baju kurung, aksesori, pin rambut, kasut, brooch, handbag, purse, pakaian dalam dan banyak lagi.
Sekarang cuba kaji brapa harga produk-produk tersebut di pasaran dan tanya diri anda dan mereka, apa kelebihan produk-produk ini ? kenapa mereka membeli produk-produk ini ? apa impian produk yang mereka kehendaki ?
Kenalpasti Produk Untuk Dijual
Sedar tidak sedar, sebenarnya anda sudah pun mengenalpasti produk yang terhangat di pasaran anda. Kini anda mungkin sudah ada senarai 50 produk untuk dijual.
Sekarang adalah masanya untuk anda kenalpasti dan kurangkan bilangan produk ini daripada 50 kepada 10 dan seterusnya kepada hanya 3 produk utama.
Setelah mengenalpasti produk-produk ini terdapat beberapa langkah yang perlu kita perhalusi untuk menurunkan bilangan produk tadi daripada 50 ke hanya 3 produk yang anda akan borong dan jual.
a. Adakah anda suka menjual produk ini ?
Ini sangat penting kerana anda tidak akan penat menjual sesuatu yang anda suka. Setiap masa anda menjualnya adalah sesuatu yang sangat bahagia bagi anda. Jadi pilih produk yang anda suka untuk jual.
b. Mampukah anda menjual produk ini secara berterusan ?
Trend produk kita sering berubah. Namun ianya tidak lari jauh daripada produk asal. Katakan tudung, setiap hari terdapat fesyen baru muncul di pasaran, namun, tudung tetap tudung. Begitu juga dengan produk seperti handphone, kereta, jam tangan dan lain-lain.
Jadi anda tidak mungkin menjual satu jenis produk dengan satu design sepanjang hidup anda. Anda perlu sentiasa berubah mengikut trend produk tersebut dan memberikan yang terkini kepada pelanggan anda.
Adakah anda mampu mengikut trend ini ? Jika ya, memang betul anda berminat mengenai produk ini dan anda mampu mengikuti trendnya untuk tempoh jangka panjang.
c. Adakah produk ini boleh didapati dengan harga yang lebih murah.
Ini adalah persoalan penting di mana dalam perniagaan yang penting adalah keuntungan. Jadi adalah penting untuk anda kenalpasti perkara ini sebelum menjual apa-apa produk.
Ada diantara mereka yang baru ingin memulakan perniagaan, mereka berkata “Saya tak kisah untung atau tidak, tapi saya cuma nak mulakan perniagaan”.
Mindset seperti ini adalah mind set PASTI GAGAL. he he.
Anda tidak boleh menyertai perniagaan tanpa objektif membuat keuntungan. Anda perlu untung untuk menyara diri, keluarga dan perniagaan anda. Ini bukan satu dosa. Malah ini satu pahala yang besar untuk anda membuat yang terbaik dengan diri anda.
Sebagai kesimpulan, dalam langkah ini, kita telah melalui 3 saringan utama untuk mendapatkan produk yang bagus untuk dijual iaitu membuat pemerhatian dari sekeliling anda, mengenalpasti pembeli dan akhirnya mengenalpasti produk untuk dijual.
Kita akan sambung lagi dalam bahagian seterusnya
Shahabudeen Jalil
{ 4 comments… read them below or add one }
assalamualaikum..
saya dari vsix smart collection gurun kedah ( pemborong dan peruncit )
saya nak tanya tuan kalau2 ada barang terus dari china untuk di borong. Mcm tudung , baju kurung , blouse atau jubah.. kalau ada boleh contact saya 013-7665234 .
terima kasih..
terima kasih kerana berkongsi idea cara utk memilih produk yg terhebat di pasaran…
salam…sebelum ni sy mmg mnjual produk dari china melalui org tengah spt kasut bola.disini saya nak minta pendapat drpd tuan apakah sya boleh pamer kasut bola di kedai dgn harga murah sedangkan kedai sukan lain harga jauh mahal dan adakah ini salah disisi undang2 terutama kpdn (kementerian pdggan dlm negeri..plz…
saya tengah mencari suplier yang menjual blouse wanita, jubah dan tudung, Saya amat memerlukannya segera. sila email dan gambar untuk saya buat pilihan